Mulai sekarang saya akan menerbitkan secara bersiri buku “ Syi’ah Rafidhah ; Di antara kecuaian ulama dan kebingungan ummah” karangan Maulana Asri Yusoff
Siri 1:
PRAKATA EDISI KE EMPAT
Sebenarnya buku ini ditulis hampir dua puluh tahun lalu susulan polemik Sunnah Syi'ah yang telah berlaku antara saya (penulis) dengan Hassan Salleh dan beberapa orang Syi'ah lain di dalam akhbar Watan yang kemudiannya terhenti. Ia terhenti dengan diakhiri maqalah seorang Syi'ah bernama Mustafa Harun (nama samaran?) yang tidak dapat dijawab oleh penulis berikutan akhbar berkenaan tidak lagi mahu melanjutkan polemik tersebut.
Oleh kerana pada ketika itu penulis tidak mempunyai saluran lain untuk menjawab kekeliruan-kekeliruan dan kekarutan-kekarutan yang ditaburnya di dalam maqalahnya, maka penulis telah bertindak menulis buku ini dengan tidak lagi terikat kepada perbahasan-perbahasan yang telah berlarutan di dalam polemik sebelumnya malah sebaliknya penulis menekankan dan memfokuskan kepada pengenalan ajaran Syi'ah itu sendiri yang tidak diketahui masyarakat umum di samping mengemukakan pandangan-pandangan dan fatwa-fatwa yang telah diberi oleh 'ulama' Islam yang mu'tabar tentang Syi'ah di sepanjang sejarah ummat.
Tajuk buku ini tepat sekali dengan keadaan masyarakat Islam setempat khasnya dan di seluruh dunia 'amnya terutama pada ketika ia mula-mula diterbitkan kerana rata-rata 'ulama' Islam cuai dalam menangani persoalan ini manakala ummat pula benar-benar kebingungan dalam menghSdapinya.
Ketika itu belum lagi keluar fatwa majlis fatwa kebangsaan atau mana-mana institusi agama Islam yang lain di tanah air kita tentang sesat atau tidaknya ajaran Syi'ah yang digembar-gemburkan oleh pengembang-pengembangnya di seluruh Nusantara. Penulis malah dijadikan bahan ejekan dan momokan pengikut-pengikut Syi'ah kerana sering mereka mengatakan bahawa tidak ada satu pun majlis agama atau mana-mana badan keagamaan Iain menyenaraikan Syi'ah sebagai satu ajaran sesat dan menyeleweng. Hanya penulis dan segelintir peribadi jua yang beria-ia sangat meniupkan semangat anti Syi'ah di kalangan masyarakat!
Sekarang setelah keluarnya fatwa dari Majlis Fatwa Kebangsaan juga fatwa dari Majlis-Majlis Ugama Islam di setiap negeri berhubung dengan kesesatan dan kekufuran Syi'ah di samping kesedaran yang agak meluas di kalangan 'ulama' dan masyarakat, keadaan telah banyak berubah. Buku-buku yang mendedahkan kebatilan Syi'ah karangan 'ulama' 'Arab dalam bahasa 'Arab juga sudah berlambak-lambak. Jawapan-jawapan kepada buku-buku propaganda Syi'ah seperti buku "Dialog Sunnah-Syi'ah" dan buku "Akhirnya Ku Temui Kebenaran" telah diterbitkan dan disebarkan secara meluas. Namun saya tidak mengatakan segala-gala permasalahan telah selesai, Syi'ah tidak wujud lagi di bumi Malaysia ini, semua 'ulama' sudah tidak cuai lagi dan ummat pula sudah tidak kebingungan lagi justeru masih ramai ummat yang terus kebingungan dan tidak kurang pula bilangan 'ulama' yang terus cuai, meskipun telah terbit fatwa-fatwa tadi dan telah banyak pembongkaran hakikat ajaran Syi'ah telah dibuat oleh para 'ulama' kita di seluruh dunia.
Alhamdulillah buku ini walaupun kecil, telah berjaya menghilangkan kekeliruan sebilangan besar orang-orang yang telah terpedaya dengan Syi'ah bahkan ada yang menceritakan kepada penulis bahawa dia hampir-hampir menganut fahaman Syi'ah kerana dakyah dan propaganda yang disebar mereka dengan begitu meluas menerusi buku-buku dan majalah-majalah tetapi telah terselamat daripada terjebak ke dalam gaung kesesatan mereka setelah membaca buku ini. Alhamdulillah sekali lagi.
Pembaca yang budiman!
Biar apa pun, anda mestilah ingat dan mengerti bahawa orang- orang yang telah menganut fahaman Syi'ah di kalangan masyarakat kita ini sudah tentu ramai di antara mereka masih tetap di atas ajaran yang salah itu dan terus aktif mengamal di samping menyebarkannya walau pun secara senyap-senyap dan sulit.
Andaikan seseorang telah menganut ugama Syi'ah dari tahun tercetusnya revolusi Iran (1979) dan ketika itu dia telah mendapat anak, tentu sekali anak itu sekarang telah berumur 26 tahun. Seorang anak yang dididik dan diasuh dalam keluarga Syi'ah dengan ajaran-ajaran Syi'ah yang melampau, sudah tentu langsung tidak akan terdedah dengan ajaran Islam yang dihayati oleh kita Ahlus-Sunnah Wal-Jama'ah.
Ini bererti bahawa bilangan orang-orang Syi'ah akan sentiasa bertambah secara tabi'i dengan berkembangnya sesebuah keluarga mereka dan akhirnya mereka akan membentuk satu kelompok masyarakat yang entah berapa pula jumlahnya.
•
Persoalan yang timbul sekarang ialah apakah usaha kita sebagai 'ulama' yang tidak cuai, ummat yang tidak kebingungan? Apakah langkah-langkah yang diambil oleh insitusi-institusi agama yang telah mengeluarkan fatwa tentang kesesatan Syi'ah untuk mengembalikan mereka kepada Islam sejati dan seterusnya memulihkan 'aqidah mereka yang rosak itu benar-benar telah membawa kejayaan yang memuaskan? Atau segala yang dilakukan hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja??
Lihat saja kepada pergaduhan, kekecohan dan bunuh-membunuh yang saban hari berlaku di negara-negara Islam yang malang. Puncanya tidak lain dan tidak bukan ialah perbezaan 'aqidah Ahli as-Sunnah dan Syi'ah. Sejarah menyaksikan bahawa golongan Syi'ahlah sentiasa menjadi tali barut kuasa-kuasa besar kuffar dalam usaha mereka menghancur dan memporak-perandakan ummat Islam.
Lihatlah apa yang berlaku di hadapan anda sendiri di zaman ini, betapa peranan mereka dalam memecah-belahkan negara dan ummat Islam di 'Iraq, Afghanistan, Pakistan, Lubnan dan lain-lain. Kekecohan cetusan mereka sentiasa membawa kepada pertumpahan darah.
Mahukah kita melihat keadaan seperti itu berlaku juga di negara kita yang tercinta ini? Jika tidak maka marilah sama-sama kita hapuskan atau paling tidak kita kawal wabak ajaran sesat ini dengan serius seperti mana kita bersungguh-sungguh mahu menghapuskan dan mengawal penyakit-penyakit menular atau virus-virus yang mengancam nyawa manusia. Malah ajaran sesat ini bukan sahaja mengancam nyawa masyarakat bahkan menggugat kestabilan sesebuah negara dan yang paling dahsyat bagi ummat Islam ialah ia memusnahkan 'aqidah dan ajaran yang dibawa oleh Nabi kita Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya yang mulia.
Di dalam edisi baru terbitan Pustaka Bisyarah ini, sedikit perubahan dan pindaan dilakukan di sana sini. Apa yang diharapkan sangat ialah agar seramai mungkin pembaca akan mendapat manfa'at dari penjelasan
yang diberikan dan penulis berdoa semoga Allah memberi taufiq dan hidayah-Nya kepada orang-orang yang telah terpengaruh dengan fahaman Syi'ah. Tiada tempat memohon taufiq dan hidayah kecuali kepadaAllah jua.
Muhammad' Asri Yusoff Kubang Kerian, Kota Bharu Kelantan. 22/11/2005
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.