Siapa Syi'ah dan Penyelewengan Syi'ah
Akhir-akhir  ini terdapat kecenderungan orang Islam mencemuh dan mengutuk para  sahabat Nabi r.hum., bahkan lebih parah lagi melabelkan mereka sebagai  munafiq dan kafir. Mereka melontarkan tuduhan bahawa sahabat  menyembunyikan fakta-fakta penting agama dan juga menyelewengkan  al-Quran. Justeru mereka meragui kebenaran dan kesahihan ajaran Islam  yang ada pada hari ini lantaran ianya dibawa oleh sahabat Nabi s.a.w dan  sebagai alternatif mereka cuba menampilkan satu bentuk ajaran lain yang  kononnya datang dari anak cucu Nabi s.a.w. (Ahlul bait)
Risalah  ini bertujuan untuk memberi maklumat dan penjelasan kepada masyarakat  mengenai fahaman Syi‘ah* supaya mereka menjauhi dan tidak terpengaruh  dengan fahaman tersebut dan bertujuan menyedarkan mereka yang terbabit  bahawa pegangan fahaman Syi‘ah adalah bercanggah dengan ajaran Islam  sebenar.
Siapakah Syi‘ah?
Taburan penduduk Sunni dan Syi'ah
Syi‘ah  ialah golongan yang mendakwa Sayyidina ‘Ali lebih utama daripada  sahabat-sahabat lain dan mengkafirkan sahabat-sahabat yang lain. Inilah  perkara pokok yang membezakan golongan Syi‘ah daripada golongan-golongan  Islam yang lain. Terdapat beberapa banyak aliran di dalam Syi‘ah itu  sendiri yang pada dasarnya masing-masing mempunyai konsep yang tersebut  di atas. Tetapi aliran-aliran itu berbeza antara satu dengan yang lain  kerana wujudnya fahaman-fahaman atau ajaran-ajaran yang saling berbeza.  Tetapi tumpuan yang utama akan diberikan kepada Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah* kerana  kekeliruan yang timbul di dalam masyarakat sekarang ini ialah berhubung  dengan Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah. Syi‘ah inilah yang  dipertikaikan oleh para ‘ulama’ di setiap tempat pada masa ini kerana  ramainya bilangan mereka dan kedudukan mereka yang semakin popular  terutama selepas tercetusnya revolusi di Iran.
SYI‘AH IMAMIYYAH ITHNA ‘ASYARIYYAH
Syi‘ah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah ialah Syi‘ah yang mempercayai keimaman dua belas orang imam secara berturut seperti di bawah ini:-
1. ‘Ali bin Abi Talib (wafat 40 H)
2. Hasan bin ‘Ali (wafat 50 H)
3. Husain bin ‘Ali (wafat 61 H)
4. ‘Ali Zainal ‘Abidin bin Husain (wafat 94 H)
5. Muhammad al-Baqir bin ‘Ali Zainal ‘Abidin (wafat 117 H)
6. Ja‘far as-Sadiq bin Muhammad al-Baqir (wafat 148 H)
7. Musa al-Kazim bin Ja‘far as-Sadiq (wafat 183 H)
8. ‘Ali ar-Ridha bin Musa Kazim (wafat 202 H)
9. Muhammad al-Jawaad bin ‘Ali ar-Ridha (wafat 220 H)
10. ‘Ali bin Muhammad al-Jawaad (wafat 254 H)
11. Hasan bin ‘Ali al-‘Askari (wafat 260 H)
12. Muhammad bin Hasan al-‘Askari al-Mahdi (ghaib 260 H)
Mereka  percaya Imam Kedua Belas telah ghaib dan ia akan muncul kembali ke  dalam masyarakat setelah dunia ini dipenuhi dengan kezaliman dan  kekacauan. Mereka juga percaya kepada al-bada’, ar-raj‘ah, tahrif  al-Qur’an, (akan dijelaskan secara terperinci di dalam siri-siri selepas  ini ), kemurtadan para sahabat termasuk Sayyidina Abu Bakar, ‘Umar,  ‘Utsman r.a. dan sahabat-sahabat besar Rasulullah s.a.w. yang lain,  ‘ismah para imam dan lain-lain. Biasa juga Syi‘ah ini disebut sebagai Syi‘ah Imamiyyah atau Ja‘fariyyahsahaja. Syi‘ah ini juga dikenali sebagai Rafidhah kerana fahaman-fahaman dan ‘aqidah-‘aqidahnya yang melampau.
Di  Malaysia kumpulan Syi‘ah ini dipercayai mula bertapak selepas kejayaan  Revolusi Iran pada tahun 1979. Pengaruh ajaran dan fahaman kumpulan ini  menular ke negara ini melalui bahan-bahan bacaan dan orang perseorangan  sama ada yang berkunjung ke Iran atau yang datang dari Iran. Fahaman  Syi‘ah ini bertambah meruncing apabila beberapa orang pensyarah  universiti tempatan telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman  Syi‘ah Ja'fariyah secara serius kepada para pelajar di Institut  Pengajian Tinggi. Pengaruh fahaman Syi‘ah ini kian menular ke  negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, antaranya Kelantan, Johor, Perak,  Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam dalam keputusannya yang bertarikh 5 Mei 1996 telah mewartakan kesesatan Syi‘ah dan mengharamkannyadari diamalkan di Malaysia.
Antara negeri yang telah mewarta dan mengharamkan Syi‘ah ;
Selangor          :    19  Januari 1998  
W.Persekutuan  :     3  April 1997           
Terengganu      :    25 September 1997   
P. Pinang         :    16 Januari 1997
N.Sembilan       :    12  Mac 1998   
Kelantan          :    September 1987
BEBERAPA CONTOH PENYELEWENGAN SYI‘AH
1) Syi‘ah - Al-Quran Sudah Diseleweng. 
Aqidah  Syi‘ah mengatakan bahawa Al-Quran sekarang ini telah diubah,  ditokok-tambah dan diselewengkan. Di dalam kitab Al-Fashlu Al-Khitaab  at-Thabarsi menukilkan kata -kata Sayyid Ni`matullah al-Jazaairi: "Bahawa  tokoh-tokoh Syi‘ah telah sepakat tentang sahihnya hadits-hadits yang  sampai ke peringkat mutawaatir yang menunjukkan dengan jelas tentang  berlakunya penyelewengan al-Quran (An-Nuuri At-Thabarsi, Fashlu  al-Khitaab, hal. 30)
AGAMA ISLAM - Tidak perlu dijelaskan hukum meragui kitab suci al-Quran.
2) Syi‘ah - Imam Adalah Maksum. 
Dinyatakan dalam Kitab `Aqaid al-Imamiah oleh Syeikh Muhammad Redha al-Muzaffar, hal. 72: Akidah  Kami Tentang Imam itu Maksum Kami mempercayai bahawa imam-imam itu  seperti nabi-nabi, ia wajib maksum dan terpelihara daripada sifat-sifat  yang buruk dan keji yang nyata dan yang tersembunyi, semenjak daripada  kecil sehinggalah mati, sengaja atau lupa sebagaimana mereka juga  terpelihara daripada sifat lupa, tersalah dan lain-lain. Khomeini menyatakan:"Kita tidak dapat menggambarkan para imam itu mempunyai sifat lupa dan lalai." (Khomeini, Al-Hukumah Al-Islamiyah, hal. 91)
Bahkan imam-imam dianggap lebih tinggi kedudukannya dari Nabi-nabi a.s. Perkara  ini dinyatakan dengan begitu banyak sekali dalam kitab-kitab muktabar  Syi‘ah seperti Al-Anwar An-Nu’maniyah, Al-Kafi dan juga seperti yang  disebutkan Khatimatul Muhaddisin (penyudah ahli hadis) di sisi Mulla  Baqir Al-Majlisi dalam kitabnya Biharul Anwar jilid 27 hal. 29: Ali bin  Hussain a.s. berkata: "Imam-imam boleh menghidupkan orang mati,  menyembuhkan penyakit sopak dan buta serta berjalan di atas air, beliau  berkata lagi: "Tidak ada sesuatu yang diberikan Allah kepada Nabi-nabi  kecuali akan diberikannya kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta diberikan  juga kepadanya sesuatu yang tidak diberikan kepada Nabi-nabi sebelumnya.  Dan setiap apa yang diberikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. pasti akan  diberikannya kepada Amirul Mukminin Ali a.s. bahkan kepada Hasan, Hussin  a.s. kemudian kepada Imam-imam selepasnya sehingga hari kiamat dengan  ditambah ilmu-ilmu yang baru (yang tidak dimiliki oleh Nabi-nabi) pada  setiap tahun, pada setiap bulan dan demi Allah pada setiap saat."
AGAMA ISLAM-  Jelas terdapat dalam al-Quran dan Hadits-hadits sahih menyatakan bahawa  yang maksum hanyalah para rasul dan anbiya' sahaja. Oleh itu dalam  hal-hal yang berkaitan dengan akidah, memerlukan kepada dalil-dalil yang  qat'ie. Ini dijelaskan oleh ayat-ayat al-Quran seperti berikut yang  bermaksud: "Dan ia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan  ugama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang  diperkatakan itu (sama ada al-Quran dan Hadits) tidak lain hanyalah  wahyu yang diwahyukan kepadanya." (An-Najm ayat 3 - 4)
3) Syi‘ah - Ilmu Allah Berubah-ubah Mengikut Sesuatu Peristiwa Yang Berlaku Kepada Manusia (al-Bada'). 
Dari  segi bahasa al-Bada' bermaksud lahir sesudah tersembunyi. Menurut  akidah Syi‘ah , al-Bada' ialah Allah mengetahui sesuatu perkara setelah  berlaku peristiwa berkenaan yang sebelum itu dianggap tersembunyi  daripada-Nya. Perkara ini jelas menganggap Allah itu jahil atau tidak  mempunyai ilmu yang meliputi. Disebutkan oleh al-Tabatabai dalam kitab  al-Usul Min al-Kafi oleh al-Kulaini juzu' 1 hal. 146:"AI-Bada" ialah  zahir perbuatan yang tersembunyi disebabkan ternyata tersembunyi ilmu  kerana adanya maslahah. Kemudian diluaskan penggunaannya, maka kami  maksudkan dengan al-Bada' itu ialah lahirnya setiap perbuatan yang  sebelumnya itu adalah tersembunyi (daripada Allah S.W.T)".
AGAMA ISLAM -Pendapat  yang mengatakan ilmu Allah berubah-ubah mengikut peristiwa yang berlaku  kepada manusia adalah bertentangan dengan al-Quran al-Karim yang  menyebut bahawa Allah mengetahui secara terperinci dan menyeluruh  sepertimana yang dijelaskan oleh ayat-ayat berikut yang bermaksud:"Allah  mengetahui pengkhianatan (keserongan dan ketiadaan jujur) pandangan  mata seseorang. Serta mengetahui akan apa yang tersembunyi di dalam  hati." (Surah al-Mukmin ayat 19). FirmanNya lagi:"Sesungguhnya  Allah tidak tersembunyi kepada-Nya sesuatupun yang ada di bumi dan juga  yang ada di langit." (Surah A-li Imran ayat 3)
4) Syi‘ah - Taqiyyah (berpura-pura). 
Dijelaskan dalam buku al-Usul Min al-Kafi, juzu' 2 oleh Abu Ja'far Muhammad bin Ya'kub bin Ishak al-Kulaini al-Razi, hal. 217: Daripada  Ibnu Abu Umair daripada Hisham bin Salim daripada. Abu Umar al-A'jami  katanya Abu Abdullah a.s. berkata kepadaku "Wahai Abu Umar, Sesungguhnya  sembilan persepuluh daripada agama itu terletak pada Taqiyyah dan tidak  ada agama bagi orang yang tidak mempunyai Taqiyyah dan Taqiyyah itu ada  pada tiap-tiap sesuatu, kecuali dalam masalah arak dan menyapu dua  khuf."
Di tempat yang lain Imam Jaa’far As-Sadiq a.s. berkata kepada Sulaiman bin Khalid (perawi hadis): "Wahai  Sulaiman! Sesungguhnya engkau berada di atas agama yang sesiapa  menyembunyikannya akan dimuliakan oleh Allah dan sesiapa yang  menyebarkannya akan dihina oleh Allah." (al-Kafi jilid 2, hal. 222)
Taqiyyah merupakan konsep atau ciri utama yang tidak dapat dipisahkan dari fahaman Syi‘ah
AGAMA ISLAM - .  Taqiyyah pada hakikatnya adalah amalan "berdusta dan berbohong". Ulama  Islam di zaman lampau tidak mahu menerima riwayat yang dikemukakan oleh  Syi‘ah lantaran jelas mereka mengamalkan pembohongan. Sehubungan dengan  itu Imam Syafie berkata: "Tidak pernah aku melihat golongan yang  menurut hawa nafsu yang lebih pembohong dari golongan Syi‘ah ."  (Al-Kifayah, hal. 49, as-Suyuti, Tadrib Ar-Rawi, jilid 1, hal. 327)
5) Syi‘ah - Mengkafirkan Para Sahabat Rasulullah s.a.w. 
Perkara ini disebutkan dalam Kitab Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi juz 27, hal 64-66: Kebanyakan  para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di  zaman mereka. Tetapi apabila wafat nabi s.a.w ternyatalah cahaya nifaq  mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur  ke belakang, dan kerana ini Saidina Ali berkata; "Semua manusia murtad  selepas wafat nabi s.a.w. kecuali empat orang sahaja iaitu Salman, Abu  Zar, Miqdad dan Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi."
AGAMA ISLAM -  Keadilan dan kedudukan para sahabat yang tinggi telah sabit melalui  al-Quran sendiri. Mengingkarinya bererti mengingkari al-Quran.
6) Syi‘ah - Menghalalkan Nikah Mut'ah. 
Iaitu  kahwin kontrak tanpa wali dan saksi berdasarkan akad untuk tempoh waktu  dan maskahwin tertentu sahaja (mafhum hadis Syi‘ah dalam kitab al-Kafi  jilid 5, ms 286). Di dalam riwayat yang lain daripada Abi Jaafar  (Muhammad Al-Baqir) berkenaan mut'ah katanya: "Ianya bukan termasuk  daripada empat (isteri). Mereka tidak diceraikan dan tidak mewarisi.  Mereka hanyalah perempuan yang disewakan." (al-Kafi jilid 5, ms 284)  Dinyatakan dalam Kitab Man La Yahduruhu al-Faqih oleh Abu Ja'far  Muhammad b. Ali b. al-Husain Babwaih al-Qummi, juzu' 1 hal. 358: Adapun  mut'ah maka sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menghalalkannya dan  tidak mengharamkannya sehinggalah baginda wafat. Abu Ja'far al-Baqir  meriwayatkan dalam kitab Man La Yahduruhu al-Faqih Oleh Abu Ja'far  Muhamad bin Ali bin al-Husain, hal. 358: "Bukan dari kami orang yang  tidak mempercayai al-Raj'ah dan tidak menganggap halal mut'ah kita."
AGAMA ISLAM -  Nikah Mut'ah telah diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w buat  selama-lamanya sehingga hari kiamat menerusi hadits-hadits sahih sebelum  baginda wafat dan salah seorang perawi hadits tersebut ialah Saidina  Ali sendiri. Antara hadits-hadits tersebut ialah: Daripada Ali bin Abu  Talib katanya: "Bahawa Rasulullah s.a.w. melarang nikah mut'ah pada hari  peperangan Khaibar dan melarang juga memakan daging keldai kampung."  (Riwayat Ibn Majah dan al-Nasai)
Bacaan lain yang boleh dirujuk : http://www.islam.gov.my/e-rujukan/syiah.html#seleweng



Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.